Rekreasi Dan Pelancongan
Syamil Agrofarm
Pada awalnya dibina sebagai hobi dan tempat percutian peribadi, Syamille Agrofarm & Resort merasakan pengalaman dan ketenangan bercuti di pinggir kaki bukit hutan dara ini perlu dikongsi bersama. Apa yang bermula sebagai tempat ladang agrikultur dan penternakan persendirian, sedikit demi sedikit menjadi percutian berinspirasikan alam semulajadi. Penginapan demi penginapan mula dibina sekitarnya tanpa mengusik lumrah alam sehinggalah akhirnya dibuka untuk semua pengunjung. Hasilnya, satu siri percutian yang baru lagi unik terbentuk, dikenali sebagai agropelancongan. Syamille Agrofarm & Resort dibina berdasarkan konsep elemen asas semulajadi, iaitu kayu dan batu, dengan sentuhan granit yang merupakan arkitektual moden dan juga landskap tradisional melengkapkan kawasan unik ini. Selebihnya merupakan alam semulajadi yang tidak terusik dan eksotik.
Satu lagi konsep penting yang diterapkan ialah guna semula. Kayu landasan keretapi lama digunakan secara meluas, sebagai sebahagian daripada bangunan hinggalah ke lorong laluan. Kayu Ulin (Ironwood) juga antara bahan penting yang dipakai, daripada pintu lama antik yang diguna semula hinggalah ke tiang penyokong binaan.
Lata Berala
Lata Berala merupakan suatu tempat yang sangat sesuai untuk perkelahan seisi keluarga dan sesuai untuk mandi manda. Terletak di Kampung Berala dalam kawasan Parlimen Padang Rengas.
Terowong Bukit Berapit
Terowong Bukit Berapit yang dibina pada 1905 dahulunya pernah menjadi laluan kereta api dan terkenal dengan jolokan “lubang gelap” bakal dibangunkan sebagai produk pelancongan.
Bengkel Pandai Besi
Terletak di Kampung Rambong dalam daerah Kuala Kangsar, pengusahanya mengusahakn secara kecil-kecilan namun menarik untuk dilihat proses pembuatan parang dan golok. Ia merupakan salah satu perusahaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang giat berkembang dalam Parlimen Padang Rengas.
Victoria Bridge
Jambatan ini merupakan salah satu warisan sejarah yang terdapat di Pekan Karai, Kuala Kangsar dan semestinya kaya dengan nilai sejarahnya tersendiri. Jambatan besi ini dinamakan Victoria Bridge sempena nama Ratu Victoria dimana pada ketika itu adalah zaman pemerintahan beliau. Victoria Bridge ini merupakan jambatan keretapi antara yang tertua di Malaysia. Jambatan ini merentangi Sungai Perak yang menghubungkan Bandar Diraja Kuala Kangsar dan pembinaannya telah mula dilakukan pada bulan Disember tahun 1897. Pembinaannya telah selesai pada bulan Mac 1990 dimana ia telah mengambil masa 3 tahun untuk siap sepenuhnya.